Penduduk Sabah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut , Lun Bawang/Lun Dayeh , Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Kraftangan di kalangan masyarakat asli Sabah bermula dalam usaha mereka untuk berteduh/berlindung, menutup tubuh dan mencari makanan dengan cara yang terbaik sekali. Mereka menghasilkan berbagai-bagai barang yang banyak dengan menumpukan kepada fungsi bahan yang dihasilkan dan kurang perhatian pada hiasan. Benda-benda yang dihasilkan meliputi kelengkapan rumah, pertanian dan pemburuan di samping benda untuk kegunaan ritual dan upacara keagamaan. Penghasilan kraftangan mereka bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.
Kaum lelaki dan wanita secara tradisi membuat berbagai-bagai jenis kraftangan. Di pedalaman Sabah, sebilangan besar kaum wanita membuat terendak, anyaman tikar, tenunan kain, sulaman, bakul-bakul kecil, nyiru dan benda-benda kecil untuk kegunaan seharian. Kaum lelaki pula membuat bakul yang lebih besar, parang, alat-alat membajak dan memburu, jala dan alat menangkap ikan yang lain dan senjata. Dikalangan masyarakat nelayan tepi pantai, kaum lelaki membuat perahu, ukiran kayu, alat penangkap ikan dan wanitanya menenun dan menyulam kain, mengayam tikar dan lain-lain.
Variasi
Kraf yang dihasilkan oleh penduduk dari berbagai-bagai budaya dalam berbilang daerah mempunyai variasi yang luas. Sebagai contoh, penduduk pesisiran pantai yang penghidupannya bergantung pada laut telah menghasilkan alat yang berbeza dari penduduk pedalaman yang masih mengamalkan penanaman padi huma atau padi sawah dan memburu serta menangkap ikan sungai. Perbezaan juga wujud di antara kebudayaan kebendaan penduduk yang mengusahakan padi sawah dan padi huma. Perbezaan bukan sahaja terdapat pada alat-alat ‘utilitarian’ tetapi juga benda-benda ritual, alat-alat muzik dan ciri-ciri kebudayaan kebendaan yang lain.
Bahan
Keadaan tentang adanya bahan-bahan tempatan juga mempengaruhi jenis kraftangan yang dihasilkan. Di daerah Tambunan, sebagai contoh penggunaan buluh untuk membuat perkakas rumah, bakul, rumah (termasuk atap) dan pagar sangat luas di kalangan masyarakat Dusun/Kadazan Tambunan. Dalam pada itu, labu pahit yang terdapat di Tambunan telah menjadikan daerah ini sebagai pusat pengeluaran sompoton, sejenis organ mulut yang diperdagangkan di kalangan kumpulan Dusun, walaupun ia juga ada dibuat di tempat-tempat lain. Rotan yang merupakan satu lagi bahan yang tahan digunakan dengan luasnya untuk membuat terendak, bakul, hiasan dinding dan juga pengikat kayu atau buluh. Bahan untuk membuat pakaian tradisional juga diperolehi daripada tumbuhan tempatan, termasuklah kulit kayu, kapas atau gentian tumbuhan daripada nanas, pisang atau kelapa.
Komersial
Benda-benda yang dibuat pada masa lalu adalah hanya untuk kegunaan rumah sahaja dan corak asas benda-benda tersebut mencerminkan fungsi asalnya. Hasil yang lebih kadang kala dijual di tamu untuk komoditi lain. Dengan cara ini, barang-barang dagangan yang diimport seperti tempayan, manik, benda tembaga, gong tembaga dan kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk pesisiran pantai dibawa masuk ke kawasan pedalaman pulau Borneo. Dengan perhubungan dengan dunia luar yang semakin meningkat, bahan-bahan yang jarang terjumpa diganti dengan benda-benda yang diimport dan lebih murah dalam usaha menghasilkan kraftangan tradisional. Dengan itu, manik-manik kaca yang jarang ditemui telah diganti dengan manik plastik yang murah dalam penghasilan manik dan hiasan pakaian. Benang kapas import yang murah kini diguna dalam sulaman dan tenunan. Kain kapas dan baldu hitam yang diimport telah digunakan sebagai pengganti kepada kain buatan sendiri secara tradisional dalam penghasilan pakaian.
Salah satu kraftangan yang sangat banyak dibuat di Sabah ialah bakul oleh kerana benda ini dipakai oleh hampir semua kumpulan etnik. Bentuk dan jenis bakul bergantung kepada fungsi dan tradisi penduduk yang membuat benda-benda ini. Artifak berbagai-bagai macam kini telah diubah suai dan dihasilkan untuk memenuhi selera pelancong walaupun sesetengah dari artifak ini masih dibuat dalam bentuk yang asal.
DEFINISI KRAFTANGAN
Kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan. Hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan dan/atau keagamaan. Hasilpengeluaran besar-besaran atau hasil kejenteraan bukan bersifat kraftangan.
Masyarakat Malaysia juga kaya dengan seni ukir dan kraftangan. Kebanyakan seni ukir ini bermotifkan alam semula jadi. Hasil seni ukir ini dapat kita lihat di rumah tradisional masyarakat Melayu, di kepala perahu dan di hulu keris. Bagi masyarakat Cina, seni ukiran berbentuk naga akan diukir di tokong. Masyarakat Cina juga amat popular dengan seni kaligrafi. Bagi masyarakat India pula, satu hasil seni yang paling unik adalah seni menghasillkan ‘kolam’. Kolam ini dibuat daripada beras yang berwarna-warni. Kolam ini akan dihias di hadapan pintu masuk rumah sempena sambutan Deepavali. Di Sabah dan Sarawak, hasil ukiran daripada tanah liat adalah paling popular. Ukiran berbentuk bunga atau burung akan dihasilkan pada pasu bunga atau pada tempayan.
Hasil seni kraftangan masyarakat Malaysia perlu dikekalkan kerana keunikannya. Antara hasil kraftangan tersebut termasuklah tenunan, anyaman, barangan seramik dan lukisan batik. Anyaman biasanya dibuat daripada rotan, buluh, daun mengkuang dan daun nipah. Antara hasil anyaman termasuklah bakul, tikar, tudung saji dan sebagainya. Barang-barang seramik pula dibuat daripada tanah liat. Tanah liat ini akan dijadikan patung, pasu bunga atau tempayan.
HASIL KRAFTANGAN TRADISIONAL
ANYAMAN
1. PENGENALAN
Anyaman ialah proses menjalin atau menjaring helaian buluh, rotan, lidi, bertam,
mengkuang, pandan dan sebagainya. Antara contoh anyaman ialah tudung saji, bakul rotan, nyiru, bubu, lekar dan kampit.
2. ALAT YANG DIGUNA
i. Parang – untuk menetak pangkal daun
ii. Pisau – membuang empulur dan duri
iii. Pelurut – dibuat daripada buluh untuk melembutkan daun
iv. Tempayan – untuk merendam daun
v. Bekas besar – untuk mencuci
vi. Periuk – untuk merebus
vii. Dapur - diguna dalam proses mewarna
viii. Jangka – untuk membelah daun menjadi helaian yang dikehendaki
ix. Penyisip – untuk menyisip lebihan helaian daun supaya tidak terburai
3. PROSES MEMBUAT ANYAMAN
Ambil daun di waktu pagi / petang -> Potong bahagian pangkal -> Susun 3 – 5 helai -> Buang empulur -> Melayur daun di atas bara api -> Mengjangka daun -> Melurut daun -> Ikat menjadi tongkol -> Rendam dalam air biasa 2 hari 2 malam untuk melunturkan warna hijau daun ( air perlu ditukar 2 kali sehari ) -> Jemur hingga kering -> Proses mewarna -> Jemur semula -> Melurut daun sekali lagi -> Proses anyaman boleh dilakukan.
4. TEKNIK DAN PROSES ANYAMAN
i. Lagang – ialah tulang sesuatu ciptaan anyaman
ii. Pepeh / Lepih – anyaman mati pada tepi tikar di akhir proses anyaman
iii. Sisip – untuk mengelakkan anyaman terburai, alat penyisip buluh digunakan
iv. Kerat – pisau tajam digunakan untuk mengerat lebihan / baki anyaman
5. KELARAI
Kelarai ialah corak atau motif pada sesuatu anyaman. Biasanya kelarai yang terdapat apada anyaman adalah berasaskan flora, fauna, geometri, abstrak, nama tempat dan nama pereka.
6. FUNGSI TIKAR
i. Tikar biasa – alas tidur & untuk tetamu
ii. Tikar sembahyang – sebagai sejadah
iii. Tikar parudan – alas semasa memarut kelapa
iv. Tikar jemuran – untuk menjemur padi
v. Tikar alas nikah – diguna semasa upacara akad nukah
7. BENTUK TIKAR
Tikar terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu;
i. Badan
ii. Kepala tikar
iii. Bucu tikar
iv. Tepi tikar
TEMBIKAR
Pengenalan
Peribahasa Melayu ada mengatakan : Ditetak belah, dipalu belah tembikar juga akan jadinya yang membawa erti walau bagaimanapun diseksa atau disakiti, kesudahannya jadi mayat juga.Melalui peribahasa Melayu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa tembikar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan orang Melayu pada masa dahulu.Di negara kita, kegunaan tembikar telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan serpihan-serpihan tembikar di Bukit Tanjung Lembu, Perlis, di Gua Cha, Kelantan dan Ulu Tembeling, Pahang.
Sejarah
Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan Melayu tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah zawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya. Terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan ialah di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak.
Salah satu barangan tembikar yang begitu popular di Malaysia ialah labu sayong. Cara menghasilkan tembikar juga dipanggil seramik di empat kawasan tersebut tidak banyak berbeza cuma jenis barangan yang dihasilkan dan rekacorak hiasan atau pengemasannya. Perbezaan ini wujud kerana pengaruh adat dan cara hidup mesyarakat tempat, serta daya cipta pengusahanya. Hal ini juga memberi gambaran bahawa barangan tembikar tradisional mengutamakan ciri fungsional dari ciri perhiasan. Labu ialah sejenis buyong, takar atau kendi tembikar yang bentuk asasnya menyerupai buah labu. Sayong pula nama merupakan sebuah kampung yang terletak di Kuala Kangsar.
PENUTUP
Masyarakat haruslah melibatkan diri dalam industri kraftangan itu sendiri dengan cara mengadakan atau menubuhkan kelas serta kelab yang melibatkan industri kraftangan di Malaysia.Justeru,jelaslah bahawa komitmen di kalangan pelbagai lapisan masyarakat diperlukan dalam usaha memartabatkan lagi industri kraftangan di negara kita.Jelas menunjukkan bahawa untuk mendapatkan sesuatu yang membuahkan hasil,seseorang itu haruslah mencari inisiatif bagi memberi nafas baru terhadap usaha mereka.Dalam nada pendekatan lain ini juga,sebenarnya seseorang individu dapat mendimensikan industri kraftangann mengikut acuan dan dinamik mereka sendiri.Hal ini,secara tidak langsung dapat mengangkat martabat industri kraftangan negara ke satu tahap yang lebih membanggakan.Dalam hal ini,pengusaha kraftangan perlulah memvariasikan corak,nilai estetika dan keaslian produk kraftangan.Selain itu,pengusaha kraftangan haruslah bijak mencari peluang dan platform dalam usaha mempromosikan produk mereka di peringkat domestik mahupun global.Sekiranya pengusaha kraftangan mengaplikasikan pendekatan global dalam mencari peluang perniagaan,maka tidak hairanlah satu hari nanti produk kraftangan negara mampu duduk sebaris dengan produk kraftangan antarabangsa,bak kata pepatah duduk sama rendah,berdiri sama tinggi.